Jumaat, 29 Disember 2017 | 6:02pm
TEKONG warga Thailand yang parah ditetak dan ditikam seorang awak-awaknya dikejarkan Hospital Tengku Ampuan Afzan HTAA Kuantan untuk rawatan lanjut.- Foto Ihsan PDRM
TEKONG warga Thailand yang parah ditetak dan ditikam seorang awak-awaknya dikejarkan Hospital Tengku Ampuan Afzan HTAA Kuantan untuk rawatan lanjut.- Foto Ihsan PDRM

Tekong Thailand parah ditetak awak-awak

DUNGUN: Seorang tekong bot warga Thailand parah apabila ditetak dan ditikam bertubi-tubi di beberapa bahagian badan selepas bertengkar dengan seorang awak-awak ketika menangkap ikan berhampiran perairan Pulau Tenggol, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, suspek berusia 24 tahun yang juga warga Thailand terbabit dikatakan bertindak agresif apabila menetak dan menikam mangsa menggunakan pisau mengakibatkan tekong berkenaan mengalami kecederaan parah.

Tekong berusia 48 tahun itu terbabit terpaksa menahan kesakitan lebih lapan jam sebelum bot dinaikinya tiba di Jeti Kuantan, Pahang, untuk dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Sebelum kejadian, mangsa bersama empat lagi awak-awak termasuk suspek berusia 24 hingga 37 tahun, menangkap ikan di sekitar lokasi kejadian sebelum mereka tiba-tiba bergaduh.

Difahamkan, suspek kemudian meloloskan diri dengan terjun ke laut menggunakan pelampung sebelum dipercayai berenang menuju ke Pulau Tenggol.

Menyedari keadaan tekong yang tenat, seorang awak-awak menghubungi sebuah bot nelayan untuk memaklumkan kejadian manakala rakan yang lain mengambil alih tugas mengemudi bot terbabit ke arah Jeti Kuantan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid, berkata kelima-lima nelayan terbabit bekerja dengan seorang pengusaha bot nelayan tempatan dan tekong berkenaan sudah 10 tahun berkhidmat dengannya.

"Sebaik semua mereka tiba di Jeti Kuantan, sepasukan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun menahan tiga awak-awak terbabit untuk membantu siasatan manakala tekong itu dihantar ke hospital untuk rawatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Berita Harian X