X
Rabu, 27 Disember 2017 | 10:23pm

Pembantu restoran dituduh cabul dua penumpang LRT

PETALING JAYA: Seorang pembantu restoran warga India, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas dua pertuduhan mencabul kehormatan dua wanita dalam LRT, dua minggu lalu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, S Saravanakumar, 27, didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat hendak mencabul kehormatan dua wanita yang berusia 28 dan 29 tahun.

Saravanakumar dituduh melakukan perbuatan itu di dalam LRT dari Stesen Taman Bahagia menuju ke Stesen Jalan Universiti, di sini, pada 8.40 malam, 14 Dissember lalu, mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin menawarkan jaminan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua orang penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Datin Raj Preet Kaur merayu jaminan rendah dan bersedia untuk menerima sebarang syarat tambahan.

Majistret Mohd Azali Ibrahim membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 oleh dua penjamin tempatan Malaysia berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 24 Januari depan untuk sebutan semula kes. -- BERNAMA

Berita Harian X