Khamis, 21 Disember 2017 | 2:19pm
PEGAWAI SPRM mengiringi Rijali Solah setelah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama setahun berserta denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar. - Foto Amran Hamid
PEGAWAI SPRM mengiringi Rijali Solah setelah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama setahun berserta denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar. - Foto Amran Hamid

Sarjan polis terima rasuah

ALOR SETAR: Sarjan polis dihukum penjara setahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, di sini, selepas bersalah menerima rasuah berjumlah RM700, tiga tahun lalu.

  

Rijali Solah, 59 dijatuhi hukuman itu oleh Hakim, Azman Abu Hassan, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

  

Mahkamah juga memerintahkan supaya tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

  

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai penolong pegawai penyiasat jenayah narkotik di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan didakwa menerima rasuah RM700 sebagai dorongan bagi membantu menukar keputusan ujian air kencing ke atas Mohd Hizzam Hussin, 38.

  

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Kak Chaq Ikan Bakar, Gurun  2.10 petang pada 12 Mei 2014.

   

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

  

Peguam tertuduh, SP Raman dalam rayuannya berkata, tertuduh bertugas dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 38 tahun dan ia adalah kesalahan pertama.

  

"Tertuduh juga perlu menanggung isteri dan tiga anak termasuk dua yang masih bersekolah.

 

"Tertuduh juga mendapat pengajaran apabila bakal kehilangan pekerjaan dan pencen akibat tindakannya itu," katanya.

  

Raman pada masa sama memohon mahkamah supaya hukuman penjara yang dikenakan kepada tertuduh ditangguhkan sementara proses rayuan di Mahkamah Tinggi Alor Setar.

    

Mahkamah membenarkan hukuman penjara ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai dan tertuduh turut membayar denda itu.

  

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Shahrul Khuzaini Amiruddin.

Berita Harian X