Selasa, 19 Disember 2017 | 1:51pm

Pukul mati: Tiga didakwa

AYER KEROH: Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang remaja lelaki di Krubong, awal bulan ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh, J Visvanathan, 32; K Shanmuganathan, 35, dan N Thiagu, 38; di hadapan Majistret Norina Maludin.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa meneruskan niat bersama dengan menyebabkan kematian M Arunasalam, 16, di sebuah bengkel membaiki lori di Kawasan Perindustrian Krubong, Melaka, antara jam 5 petang hingga jam 8 malam, pada 4 Disember lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, peguam, A Mathan mewakili tertudug K Shanmuganathan. Bagaimanapun, J Visvanathan dan N Thiagu tidak diwakili peguam.

Sebaik saja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, majistret Norina menetapkan 17 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan kimia.

BH sebelum ini melaporkan seorang pelajar Tingkatan Empat, M Arunasalam, 16, yang dirawat di Hospital Melaka, disahkan meninggal dunia selepas diberi bantuan pernafasan selama 30 minit.

TERTUDUH (dari kanan), K Shanmuganathan, J Visvanathan dan N Thiagu diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret selepas didakwa atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang remaja lelaki di Krubong, awal bulan ini. - Foto Rasul Azli Samad
TERTUDUH (dari kanan), K Shanmuganathan, J Visvanathan dan N Thiagu diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret selepas didakwa atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang remaja lelaki di Krubong, awal bulan ini. - Foto Rasul Azli Samad
Berita Harian X