Isnin, 18 Disember 2017 | 6:27pm
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Supritendan Mohamed Zulmazi Daud, (tengah) menunjukkan poster mengenai kes penipuan Macau selepas sesi sidang media di IPK, Kota Bharu. - Foto Faris Zainuldin
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Supritendan Mohamed Zulmazi Daud, (tengah) menunjukkan poster mengenai kes penipuan Macau selepas sesi sidang media di IPK, Kota Bharu. - Foto Faris Zainuldin

Buruh ditipu RM40,000

KOTA BHARU: Hasrat seorang buruh untuk memiliki sebuah rumah tidak kesampaian apabila wang simpanannya berjumlah RM40,000 lesap akibar tertipu dengan 'Macau Scam', bulan lalu.

Dalam kejadian yang berlaku di Tanah Merah, mangsa berusia 60 tahun itu dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai bank dengan menyatakan mangsa mempunyai tunggakan ansuran bulanan pinjaman peribadi dengan bank berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud, berkata mangsa dituntut untuk menjelaskan tunggakan bank berkenaan dan berhadapan tindakan undang-undang jika gagal melunaskan bayaran.

Katanya, mangsa menjadi takut dan mengikut apa saja yang disuruh suspek supaya kes yang mereka dakwa itu selesai.

Mohamed berkata, kes buruh itu adalah antara 19 kes yang diterima polis di negeri itu, membabitkan penipuan Macau Scam sehingga Ogos lalu.

"Suspek akan membuat panggilan secara rawak dan memaklumkan mangsa mempunyai tunggakan hutang atau yang berkaitan dengan tuntutan wang dari mana-mana agensi.

"Mereka akan meminta mangsa menjelaskan tuntutan terbabit dan jika perkara itu dinafikan mangsa, suspek akan menyambungkan talian terbabit kononnya kepada pihak polis.

"Selalunya, mangsa yang terpedaya dengan ugutan akan dikenakan tindakan undang-undang itu, akan membuat bayaran yang dituntut," katanya pada sidang media di IPK, di sini, hari ini.

Berita Harian X