BANDAR SERI JEMPOL: Empat rakan didakwa di Mahkamah Majistret Bahau di sini, hari ini kerana menyebabkan kematian seorang lelaki yang dipercayai mencuri motosikal seorang tertuduh, awal bulan ini.
Tiada pengakuan direkodkan daripada S Sundhara, 25; R Puvaneswaran, 24; S Tavaraj, 19, dan B Sakthi Saravanan, 31, semuanya dari Bahau di sini, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menyebabkan kematian Wong Yew Khean, 47, di belakang bangunan Kiara Square, Bahau, antara jam 11 malam hingga 11.30 malam, 5 Disember lalu.
Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah, manakala Sundhara dan Tavaraj diwakili peguam Paul Krishnaraja.