Ahad, 10 Disember 2017 | 2:35pm
OPERATOR kilang, R Ravi dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas didapati mengedar 6,851 gram kanabis, tahun lalu. - Foto Izlaily Nurul Ain Hussein
OPERATOR kilang, R Ravi dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas didapati mengedar 6,851 gram kanabis, tahun lalu. - Foto Izlaily Nurul Ain Hussein

Operator kilang edar dadah dihukum gantung

JOHOR BAHRU: Seorang operator kilang dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru, hari ini selepas didapati bersalah mengedar 6,851 gram kanabis, pada Januari tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, R Ravi, 26, yang bekerja di Singapura selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan gagal menyangkal andaian pihak pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata, keterangan pihak pembelaan termasuk tertuduh sendiri ketika prosiding membela diri bersifat penafian semata-mata.

Beliau berkata, keterangan tertuduh yang mendakwa tidak mengetahui kehadiran beg kertas berwarna putih yang disyaki berisi dadah itu tidak selari dengan keterangan saksi pendakwaan iaitu anggota polis trafik yang menahan lelaki terbabit ketika melakukan kesalahan trafik.

"Tertuduh dikatakan memandu (kereta) BMW milik abang iparnya dan diminta mengambil kakak iparnya yang menaiki bas tiba lebih awal dari Kuantan, Pahang di Terminal Bas Larkin di sini.

"Tertuduh didapati memandu di lorong yang salah sebelum ditahan anggota polis trafik yang kemudian memintanya menunjukkan kad pengenalan dan lesen.

"Menerusi keterangan saksi pendakwaan itu, tertuduh gagal mengemukakan kad pengenalan dan lesen, namun hanya menunjukkan pasport antarabangsanya.

"Bagaimanapun, tertuduh mula gelisah apabila polis ingin menyamannya dan seperti menyembunyikan sesuatu membuatkan anggota polis terbabit mencurigainya dan mahu memeriksa kenderaan itu.

"Tertuduh dikatakan menghalang anggota polis membuka pintu belakang kereta dan apabila polis menjumpai beg kertas berkenaan yang disyaki mengandungi dadah di dalam kereta itu, tertuduh mula mendesak dan memujuk anggota polis berkenaan menyelesaikan perkara itu dengan cara baik," katanya.

Mohd Sofian melihat keterangan saksi pendakwaan itu boleh diguna pakai mengikut Seksyen 8 Akta Keterangan 1950, malah kakak ipar tertuduh yang juga saksi pembelaan juga gagal mengemukakan bukti bahawa dia ada menaiki bas pada waktu kejadian ketika tertuduh diminta mengambilnya di terminal bas.

Selain itu, keterangan tertuduh yang mendakwa kereta itu diakses oleh ramai ahli keluarga sebelum kejadian itu juga disangkal dengan keterangan pegawai penyiasat kes bahawa pemilik kereta iaitu abang ipar tertuduh tidak tahu menahu berhubung beg kertas berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ravi didakwa mengedar dadah berbahaya itu di Jalan Tebrau menghala Johor Bahru, kira-kira 7.10 malam, 27 Januari 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norafiah Saini yang mengemukakan empat orang saksi sepanjang prosiding perbicaraan, manakala tertuduh diwakili peguam R Subash.

Berita Harian X