Sabtu, 9 Disember 2017 | 4:10pm
DUA anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Kedah mencari mangsa yang dilaporkan jatuh di Sungai Kedah. - Foto Zuliaty Zulkiffli

Kontraktor jatuh sungai dikhuatiri lemas

ALOR SETAR: Seorang kontraktor dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kedah ketika membuat tinjauan bagi kerja merobohkan jambatan lama berhampiran Kampung Ganding Dalam di Jalan Alor Mengkudu, di sini pagi tadi.

Mangsa, Ho Chun Chian, 22, dipercayai terjatuh sekitar jam 11.30 pagi tadi.

Penyelia terbabit, Wong Weng Aik, 35, berkata, ketika itu mereka baru sampai di lokasi kejadian untuk merobohkan jambatan lama bagi memudahkan projek pembinaan jambatan di situ.

"Ketika itu kami sudah hendak beredar dari sini dan pada masa sama, Chun Chian menerima panggilan daripada seseorang sambil berjalan di tepi jambatan ini.

"Tidak lama kemudian kami terdengar bunyi benda jatuh sebelum ternampak mangsa terkapai-kapai sebelum tenggelam kerana keadaan air yang deras.

"Saya cuba cari kayu untuk membantunya namun tak sempat kerana dia sudah tenggelam," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Weng Aik berkata, Chun Chian baru bekerja dengannya sejak tiga bulan lalu dan dia seorang yang sangat rajin.

Sementara itu, bapa mangsa, Hoo Kam Fook, 50, berkata, dia terkejut sebaik menerima panggilan pada jam 11.50 pagi tadi yang memberitahu anak sulung dari tiga beradik itu jatuh sungai.

Katanya, ketika kejadian dia berada di tempat kerja berhampiran rumah mereka di Tikam Batu, Sungai Petani dan terus bergegas ke lokasi kejadian untuk mengetahui perkembangan anaknya.

"Saya cuma harap anak saya ditemui selamat," katanya.

Sehingga jam 3 petang ini, usaha mencari mangsa sedang giat dilakukan pasukan bomba serta polis di lokasi kejadian.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Pegawai Bomba Kanan II Zulkifle Md Esa, berkata pihaknya menerima panggilan jam 11.49 pagi dan sebuah jentera bersama Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) tiba di lokasi pada jam 11.59 pagi.

Beliau berkata, operasi disertai seramai tujuh anggota bersama seorang penyelia dan dibantu sepasukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jitra dan Sungai Petani.

"Operasi masih diteruskan untuk mengesan mangsa di lokasi kejadian setakat ini," katanya.

Berita Harian X