Rabu, 6 Disember 2017 | 4:54pm
S LETCHUMI dipercayai dibunuh Jumaat lalu dikatakan kerana motif hutang dan dendam. - Foto Muhammad Appendy Issahak
S LETCHUMI dipercayai dibunuh Jumaat lalu dikatakan kerana motif hutang dan dendam. - Foto Muhammad Appendy Issahak

Bunuh sebab dendam dan hutang

IPOH: Pembunuhan wanita berusia 28 tahun yang mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit di Mambang Diawan, Kampar, Jumaat lalu dipercayai bermotifkan hutang dan dendam.

Sabtu lalu, polis menahan pasangan suami isteri, masing-masing berusia 46 tahun manakala dua lagi suspek lelaki berusia 45 dan 54 tahun di dua lokasi berasingan pada Ahad dan Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 2 petang Jumaat lalu, S Letchumi ditemui terbaring di ladang berkenaan dengan kesan jerutan di leher dan kecederaan di kepala.

Bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan akibat trauma tumpul.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata siasatan awal polis mendapati motif pembunuhan dipercayai disebabkan hutang dan dendam.

"Siasatan daripada kedua-dua suspek lelaki berusia 45 dan 54 tahun itu mendapati mangsa meminjam sejumlah wang daripada mereka sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Ceramah Kepimpinan ''Women As Leaders'' Anjuran Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita (JPPPW) Kontinjen Perak 2017, di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU), di sini hari ini.

Kong Soon berkata, pasang suami isteri yang ditahan sebelum ini dijangka dibebaskan selepas tempoh reman tamat esok.

"Dua suspek lelaki yang ditahan di lokasi berasingan iaitu di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar dan sebuah rumah di Taman Aman, Kampar pula direman selama lima hari hingga Jumaat ini.

Berita Harian X