Rabu, 6 Disember 2017 | 2:43pm
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Pekan Nenas bergelut untuk memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah Kampung Air Putih, Pekan Nenas, dekat Pontian sejak Jumaat lalu.- Foto BERNAMA

JAS kompaun SWM Pontian

JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS), hari ini mengeluarkan empat kompaun bernilai RM8,000 terhadap SWM Enviroment Sdn Bhd (SWM) Pontian kerana melakukan pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah milik Majlis Daerah Pontian (MDP) di Pekan Nenas.

Pengarah JAS Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh, berkata empat kompaun bernilai RM2,000 setiap satu dikeluarkan ke atas empat sel (kawasan) yang dilakukan pembakaran terbuka.

Katanya, selain tindakan kompaun, pegawai penyiasatnya juga sudah mengambil keterangan daripada wakil pihak SWM, MDP dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"JAS Johor juga melakukan siasatan susulan sejak Sabtu lalu, dan ketika itu kebakaran masih berulang dan semakin merebak disebabkan pemadaman yang kurang berkesan kerana masih terdapat api di bawah timbunan sampah yang menyebabkan kebakaran kembali berlaku.

 "Kekurangan sumber air dan bantuan jentera serta faktor cuaca yang panas dan angin menyukarkan kerja pemadaman. Pada hari berikutnya, pemantauan JAS mendapati keadaan kebakaran semakin merebak. 

"Bagaimanapun, ia dapat dikawal oleh pihak JBPM dengan bantuan jentera jengkaut dan jentolak bagi memastikan punca kebakaran dari timbunan sampah dapat dipadam sepenuhnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohammad Ezanni berkata, sekiranya keadaan masih tidak terkawal, pihaknya akan memfailkan kes untuk pendakwaan di mahkamah ke atas SWM mengikut Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

"Siasatan susulan JAS kelmarin mendapati pihak SWM sudah menghantar empat lagi jengkaut untuk membantu mempercepatkan kerja pemadaman oleh pihak JBPM.

"Selain itu pihak SW Corp memaklumkan akan memohon bantuan dari SWM Pontian dan Johor Bahru untuk menyediakan lori tangki beserta pemancut air. Kerja pemadaman masih diteruskan oleh JBPM dengan bantuan pihak SWM," katanya.

Sejak Jumaat lalu, kebakaran skala besar berlaku di tapak pelupusan sampah milik MDP di Pekan Nenas, Pontian berpunca daripada pembakaran di tapak pelupusan haram berhampiran sehingga menyebabkan kawasan di sekitar Johor Bahru mengalami jerebu. 

Berita Harian X