Selasa, 5 Disember 2017 | 5:46pm
TERTUDUH, Syahrul Badrullah Jamaludin, dijatuhi hukuman empat tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas mengaku salah merompak kedai serbaneka 7-Eleven di Padang Midin.- Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
TERTUDUH, Syahrul Badrullah Jamaludin, dijatuhi hukuman empat tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas mengaku salah merompak kedai serbaneka 7-Eleven di Padang Midin.- Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Lelaki rompak 7-Eleven dipenjara

KUALA TERENGGANU: Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana merompak sebuah kedai serbaneka, 7- Eleven.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman itu terhadap Syahrul Badrullah Jamaludin, 24, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan.

Mengikut kertas pertuduhan, Syahrul Badrullah didakwa merompak pekerja yang sedang bertugas di kedai serbaneka itu, Hazrul Najmie Mohd Zaki, 20 dan mengambil wang tunai sebanyak RM48.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di 7-Eleven Padang Midin, di hadapan Kem Askar di sini, kira-kira jam 11.10 pagi pada 4 Julai lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Mohamad Razali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, pekerja kedai serbaneka Padang Midin, di sini, didatangi seorang lelaki yang memakai topi keledar sambil mengangkat bajunya serta menunjukkan sebilah pisau di perutnya.

Lelaki itu kemudian meminta wang dan disebabkan takut, mangsa menyerahkan wang yang ada dan penjenayah itu melarikan diri menaiki motosikal.

Berita Harian X