Selasa, 5 Disember 2017 | 4:39pm

Penyelam jumpa dua mayat

MIRI: Mayat dua beradik yang terperangkap dalam kereta yang terjatuh dari feri milik syarikat ladang kelapa sawit di Sungai Miri, dijumpai petang tadi.

Mayat, Gary Navel Wilson, 21, dijumpai kira-kira jam 5.00 petang oleh pasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri, diikuti mayat abangnya, Gaberial Brian Wilson, 23, selang 25 minit kemudian.

Kedua-dua mayat itu dijumpai di dasar sungai sedalam sepuluh meter selepas lebih lima jam operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.

Berikutan itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Jonathan Ringgit, berkata ketika kereta diangkat ke keluar dari sungai, tiada mangsa terperangkap dalam kenderaan itu.

"Kedua-dua cermin tingkap bahagian pemandu dan penumpang, termasuk cermin depan pecah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa itu dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

Stanley berkata, polis masih menyiasat kes itu dan tidak menolak kemungkinan ia berlaku akibat kecuaian.

Sementara itu, keluarga terdakat mangsa, Bonnie Medan Imai, 25, berkata, ketika kenderaan itu terhumban ke dalam air, seorang daripada mangsa cuba keluar dari tingkap kenderaan itu.

"Dia masuk semula ke dalam kenderaan dipercayai cuba menyelamatkan adiknya. Kedua-dua mereka terperangkap dan gagal keluar," katanya.

Kedua-dua beradik itu dalam perjalanan menghantar barang saudaranya di ladang kelapa sawit milik Syarikat Woodman Plantation Sdn Bhd.

Ia insiden ketiga kejadian kenderaan jatuh ketika menggunakan feri yang sama dalam tempoh empat tahun.

Berita Harian X