Selasa, 5 Disember 2017 | 2:28pm
AZHAR Bahari, diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas kesalahan merogol pekerja wanitanya di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
AZHAR Bahari, diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas kesalahan merogol pekerja wanitanya di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Majikan mengaku tidak bersalah rogol pekerja

AYER KEROH: Seorang majikan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan merogol pekerja wanitanya, dua tahun lalu.

Tertuduh, Azhar Bahari, 43, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan ke atasnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang gadis berusia 19 tahun dalam kejadian di sebuah pusat urut di sebuah pusat peranginan di Bukit Katil, di sini, pada kira-kira jam 11 pagi, 25 November 2015.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd Rawi, tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam M Pusppa merayu jaminan yang rendah memandangkan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap.

Selepas mendengar hujah kedua-kedua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 selain menetapkan 5 Januari tahun depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Berita Harian X