Isnin, 4 Disember 2017 | 10:24pm
Senapang angin yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah kongsi di Felda Kemahang 2, Tanah Merah malam tadi sidang media oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan di Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan (IPK) Kota Bharu. - Foto Siti Rohana Idris

Tempat membuat senapang angin di sebuah rumah kongsi di Felda Kemahang, Tanah Merah ketika sidang media oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan di Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan (IPK) Kota Bharu. - Foto Siti Rohana Idris

Polis serbu 'bengkel mini' hasilkan senapang angin

KOTA BHARU: Polis Kelantan merampas dua laras senapang angin dalam satu serbuan di sebuah rumah kongsi di Felda Kemahang 2, Tanah Merah, malam semalam.

Rampasan itu dibuat kira-kira jam 10.30 malam itu oleh sepasukan anggota dari cawangan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan sebaik menerima maklumat Jabatan Imigresen yang melakukan serbuan terlebih dahulu di lokasi terbabit.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata sebaik pasukan polis tiba, tiada penghuni dalam rumah kongsi yang dipercayai diduduki warga asing itu.

"Terdapat beberapa alat untuk membuat senapang angin dan anggota kami merampas selaras senapang yang sudah siap dipasang manakala satu lagi dalam proses pemasangan.

"Turut ditemui adalah sebekas 'ball bearing' berhampiran 'bengkel mini' memproses senapang angin terbabit," katanya ketika sidang media di IPK, hari ini.

Hasanuddin berkata, semua penghuni sempat melarikan diri sebelum serbuan dilakukan termasuk pemilik rumah kongsi.

Katanya lagi, kebiasaan senapang patah digunakan untuk memburu, namun ia juga mampu membunuh jika ditembak dari jarak dekat.

"Tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, ini bukan kali pertama senjata api ditemui dalam operasi yang dijalankan oleh jabatan berkenaan.

"Sebelum ini kita turut menemui senjata api dalam serbuan yang dijalankan dan ini membuktikan bahawa kehadiran warga asing di Malaysia bukan hanya sekadar pendatang asing tanpa izin (PATI) tetapi ia turut menjadi ancaman kepada keselamatan dan kedaulatan negara.

"Penemuan itu dimaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.

Dalam serbuan yang sama, seramai 81 orang pekerja asing diperiksa dan 52 daripada mereka di bawa ke pejabat penguatkuasa imigresen Kota Bharu kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen.

Berita Harian X