X
Selasa, 28 November 2017 | 1:43pm
RAFEAH (berbaju kurung coklat) di luar pekarangan Mahkamah Tawau. - Foto Nasrawati Syarifuddin
RAFEAH (berbaju kurung coklat) di luar pekarangan Mahkamah Tawau. - Foto Nasrawati Syarifuddin

Guru KEMAS didakwa sebar komunikasi palsu

TAWAU: Seorang guru wanita di Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Semporna, hari ini menjadi individu pertama di negara ini dihadapkan ke mahkamah, atas dakwaan menghantar komunikasi palsu menerusi kumpulan WhatsApp pada tahun 2014.

Bagaimanapun, pada prosiding di Mahkamah Sesyen Tawau itu, Rafeah Buang @ Othman, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan, wanita itu yang bertugas di Unit ICT Pejabat KEMAS Daerah Semporna didakwa menghantar komunikasi palsu ke kumpulan WhatsApp "Karpet KEMAS 189 Semporna" dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 11.45 pagi, 11 Disember 2014, manakala mesej itu dibaca pada jam 1 tengah hari di Hospital Semporna, pada hari sama.

Bagi pertuduhan itu, wanita terbabit didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd Sophian Zakaria, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Awang Kerisnada kemudian membenarkan Rafeah dibebaskan dengan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin yang beralamat di Semporna, dengan ke ditetapkan untuk sebutan semula pada 31 Januari tahun depan.

Sementara itu, di luar mahkamah, Mohd Sophian berkata, kes berkenaan adalah yang pertama di negara ini membabitkan individu didakwa atas kesalahan menghantar komunikasi palsu menerusi kumpulan WhatsApp.

Berita Harian X