Khamis, 23 November 2017 | 11:28pm
KEADAAN dapur rumah papan Muhammad Long yang ranap dihempap pokok tumbang di Kampung Teluk Menara, Manir, malam ini.
KEADAAN dapur rumah papan Muhammad Long yang ranap dihempap pokok tumbang di Kampung Teluk Menara, Manir, malam ini.

Dapur rumah ranap dihempap pokok

KUALA TERENGGANU: Dua beradik termasuk seorang daripadanya Orang Kelainan Upaya (OKU) terselamat, selepas dapur rumah mereka di Kampung Teluk Menara, Manir di sini, ranap dihempap pokok tumbang.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam tadi ketika hujan lebat, Muhammad Asmawi Muhammad, 31, dan abangnya, Muhammad Asri Muhammad, 36, yang mengalami masalah lembam berada di dalam rumah berkenaan.

Bagaimanapun, hujan lebat disusuli angin kuat sejak petang menyebabkan sebatang pokok tumbang lalu meranapkan bahagian dapur rumah.

Pemilik rumah, Muhammad Long, 66, berkata dia yang bekerja sebagai pembantu di kedai menjual tikar getah dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ketika kejadian.

"Sebaik tiba di rumah, saya terkejut apabila anak memaklumkan bahagian dapur rumah yang sudah 40 tahun didiami itu ranap dihempap pokok tumbang.

"Saya bimbang rumah ini akan roboh sekiranya pokok ini tidak dialihkan segera memandangkan ia sudah uzur," katanya.

Muhammad berkata, susulan kejadian beliau memaklumkannya kepada pihak berkuasa untuk meminta bantuan mengalihkan pokok.

Berita Harian X