Khamis, 23 November 2017 | 6:04pm
SIDANG media Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim mengenai kejayaan menangkap lima pengedar dadah babitkan rampasan dadah bernilai RM105,320 di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pagi tadi.
SIDANG media Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim mengenai kejayaan menangkap lima pengedar dadah babitkan rampasan dadah bernilai RM105,320 di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pagi tadi.

Polis KL tegas banteras pengedaran, penyalahgunaan dadah

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM9.6 juta sepanjang tempoh 11 bulan tahun ini setakat Selasa lalu, dalam usaha membersihkan ibu negara dari aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Rampasan membabitkan heroin sebanyak 44 kilogram (44kg); ganja (119kg); syabu (71kg); ketamin (4.5kg); daun ketum (193kg) dan serbuk ekstasi (16.6kg) selain 39,975 biji pil eramin 5; 395,604 biji pil ekstasi; pil yaba (315 biji) serta air ketum (16.5kg).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim, berkata semua rampasan itu dibuat di tiga kawasan tumpuan polis yang dikenal pasti menjalankan aktiviti pengedaran dadah iaitu di jalanan, pusat hiburan serta kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Dalam tempoh 1 Januari sehingga 21 November lalu, sejumlah 2,389 pengunjung diperiksa menerusi 56 serbuan di pusat hiburan dan daripada jumlah itu 1,108 didapati positif pelbagai jenis dadah.

"Operasi di kawasan PPR di lima daerah dalam Kontinjen Kuala Lumpur pula berjaya melakukan 1,717 tangkapan dengan paling banyak adalah di Daerah Dang Wangi dengan jumlah 1,028 tangkapan diikuti Cheras (215); Wangsa Maju (169); Brickfields (149) dan Sentul 99 tangkapan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di sini, hari ini.

Mazlan berkata, hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Kuala Lumpur juga mendapati aktiviti pengedaran dadah kini aktif di pusat hiburan apabila ada premis itu dikesan menawarkan minuman segera dan berperisa dicampur serbuk dadah.

Dalam pada itu, beliau berkata, sepasang kekasih antara lima ditahan selepas disyaki mengedar paket minuman bercampur dadah ke pusat hiburan menerusi tiga serbuan berbeza sekitar ibu negara pada Isnin lalu.

"Bagi kes pertama, tangkapan dibuat pada jam 6.30 petang di Jalan Gembira, dekat Kuchai Lama membabitkan sepasang kekasih berusia 27 dan 25 tahun.

"Suspek kemudian membawa polis ke sebuah unit kediaman di Jalan Riang Ria, Happy Garden dan merampas beberapa paket serbuk minuman pelbagai perisa yang dicampurkan dadah jenis ekstasi dan ketamin bernilai RM100,000," katanya.

Mazlan berkata, dalam satu lagi operasi pada jam 8.50 malam, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di tempat letak kereta sebuah pangsapuri di Taman Maluri, Cheras dan merampas serbuk esktasi bernilai RM18,000, manakala tangkapan ketiga dibuat ke atas seorang lelaki dan wanita berusia 22 dan 39 tahun di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di Jalan Kepong dan merampas 184.6 gram serbuk syabu bernilai RM3,520.

"Berdasarkan siasatan, serbuk minuman itu dijual pada harga RM250 sepaket dan dibancuh dalam satu jug serta mampu diminum sehingga lima orang.

"Trend menjual dadah di pusat hiburan ini adalah bagi menarik pelanggan ke premis itu. Tindakan berterusan akan dilakukan dalam memastikan kegiatan penyalahgunaan dadah ini dapat ditangani sepenuhnya," katanya.

Berita Harian X