Rabu, 22 November 2017 | 5:15pm
PENGARAH Jabatan Perikanan Pahang Azahari Othman (dua dari kanan) melihat bot nelayan asing yang ditahan kerana menggunakan
PENGARAH Jabatan Perikanan Pahang Azahari Othman (dua dari kanan) melihat bot nelayan asing yang ditahan kerana menggunakan

Diserbu ketika nyenyak tidur

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang menahan dua bot nelayan Vietnam yang sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda ganding di perairan Nenasi, Pekan, pagi semalam.

Pasukan Unit Perlindungan Sumber jabatan itu mengesan bot terbabit yang menggunakan enjin kuasa 600 kuasa kuda bersama 22 awak-awak warga Vietnam 29 batu nautika dari pantai Sungai Miang, Pekan jam 10.25 pagi.

Pengarah Perikanan negeri, Azahari Othman, berkata semua nelayan terbabit sedang nyenyak tidur dan pemeriksaan pihaknya turut mendapati satu daripada bot yang digunakan tidak mempunyai lesen.

Beliau berkata, nilai dua bot pukat tunda ganding bersama peralatan menangkap hasil laut bernilai RM2.5 juta, tidak termasuk pelbagai jenis ikan seberat tiga tan.

"Kita masih belum membuat lelongan kepada pemborong yang berminat," katanya.

"Jabatan memandang serius kegiatan nelayan asing menangkap ikan di perairan negara ini menggunakan apa juga jenis pukat, usaha menangkap mereka sentiasa dilakukan unit peronda Jabatan Perikanan yang menumpukan dibeberapa kawasan perairan di negeri ini.

"Tangkapan dua bot nelayan asing menggunakan pukat tunda ganding untuk menangkap hasil laut di negeri ini adalah yang pertama dilakukan Jabatan Perikanan Pahang dan usaha membendung kegiatan terbabit akan dilakukan secara berterusan," katanya ditemui di Jeti Jabatan Perikanan Pahang, Padang Lalang di sini, hari ini.

Azahari berkata, nelayan asing yang menangkap ikan di perairan negara ini boleh dikenakan kompaun sehingga RM20,000 atau lesen bot boleh digantung atau dibatalkan mengikut Akta Perikanan 1985.

Beliau berkata, kerajaan mengharamkan penggunaan pukat ganding di negara ini kerana boleh menyebabkan kerosakan dasar laut seperti batu karang selain boleh menyebabkan kepupusan hidupan laut apabila terperangkap dalam pukat terbabit.

"Saya memberi jaminan operasi pemantauan dan pengawasan unit peronda Jabatan Perikanan Pahang akan dilakukan secara berterusan terutama membabitkan perairan daerah ini, Pekan dan Rompin yang sentiasa terdedah dengan kegiatan terbabit.

"Pukat ganding memerlukan dua bot yang bergerak secara beriringan dan ia hanya dilakukan oleh nelayan asing, mereka memberi tumpuan terhadap tangkapan ikan bernilai tinggi selain sotong, " katanya.

Selain itu, Azahari berkata, pihaknya turut menahan dua lagi bot nelayan dan sembilan awak-awak warga Vietnam di perairan Johor berhampiran Pulau Aur melakukan kesalahan menangkap gamat dengan menggunakan sejenis alat khas dipanggil penyauk.

"Kita sudah melaporkan kepada Jabatan Perikanan Johor dan bot warga asing tu sudah ditunda ke jeti di Mersing untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Berita Harian X