Isnin, 20 November 2017 | 10:43pm
KETUA Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor. - Foto BERNAMA
KETUA Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor. - Foto BERNAMA

`Jangan cepat panik!'

PETALING JAYA: "Jangan cepat panik kalau terima panggilan telefon daripada individu mengaku sebagai pegawai polis atau pegawai bank," pesan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.

Mazlan berkata, masih ramai yang terpedaya dengan taktik sindiket Macau Scam, yang sering menyamar sebagai pegawai polis atau pihak bank walaupun perkara itu sentiasa didedahkan oleh media.

Beliau kecewa kerana statistik menunjukkan jumlah mangsa penipuan Macau Scam di negeri itu masih tinggi dengan nilai kerugian mencecah jutaan ringgit.

"Untuk tempoh tahun ini saja, 228 kes dilaporkan membabitkan kerugian RM7.2 juta, manakala tahun lalu, 213 kes dilaporkan dengan kerugian RM17.3 juta.

"Jumlah kerugian mangsa amat tinggi, mencecah jutaan ringgit...habis semua wang simpanan, wang pencen, simpanan ASB mereka hanya kerana terpedaya taktik penipuan sindiket Macau Scam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes Judi Online (JOL) di Balai Polis Ara Damansara, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mereka yang menjadi mangsa penipuan terdiri daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur, termasuk golongan profesional dan berpelajaran tinggi.

"Itulah akibatnya apabila mereka cepat panik dan mudah percaya tanpa usul periksa.

"Jangan panik. Putuskan panggilan dan jangan buat apa-apa transaksi. Jika mahu kepastian, pergi terus ke bank.

"Anda juga boleh buat semakan dengan pihak polis atau Bank Negara mengenai kesahihan identiti pemanggil," katanya.

Berita Harian X