Sabtu, 18 November 2017 | 2:34pm
KETUA Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komsioner Mohd Zani Che Din menunjukkan dokumen palsu yang dirampas pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Khairull Azry Bidin
KETUA Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komsioner Mohd Zani Che Din menunjukkan dokumen palsu yang dirampas pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Khairull Azry Bidin

Pelajar Nigeria kena tipu RM46,500

PETALING JAYA: Seorang pelajar warga Nigeria kerugian RM46,500 akibat ditipu satu sindiket, didalangi dua lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki tempatan untuk memperbaharui visa pelajar miliknya.

Mangsa yang berusia 25 tahun itu dikatakan menyerahkan wang itu secara tunai kepada suspek berserta pasport pada Julai lalu untuk urusan berkenaan dan dijanjikan akan memperoleh visa itu dalam tempoh tiga bulan.

Bagaimanapun, selepas hampir empat bulan berlalu, suspek gagal menyerahkan visa berkenaan, malah mangsa diminta menambah bayaran sebanyak RM10,000 lagi kononnya untuk mempercepatkan urusan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komsioner Mohd Zani Che Din, berkata suspek yang curiga dengan perkara itu kemudian membuat satu laporan polis, Rabu lalu.

"Susulan siasatan yang dijalankan, kita menahan dua lelaki warga Pakistan dan sedang memburu seorang lelaki tempatan, berusia antara 22 tahun dan 38 tahun.

"Kita turut merampas beberapa dokumen palsu menggunakan kepala surat Jabatan Imigresen Malaysia, beberapa peralatan komputer dan alat pencetak untuk menghasilkan dokumen palsu yang digunakan bagi meyakinkan mangsa," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai aktif melakukan penipuan sedemikian sejak setahun lalu.

Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi mengesan mangsa lain sindiket terbabit.

Semua suspek direman empat hari sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berita Harian X