Rabu, 15 November 2017 | 5:24pm
HASMERRA Hassan (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang media mengenai Tangkapan dan Rampasan Dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Perlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis. - Foto Azhar Ramli
HASMERRA Hassan (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang media mengenai Tangkapan dan Rampasan Dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Perlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis. - Foto Azhar Ramli

Wanita Vietnam antara 7 pengedar dadah ditahan polis

KANGAR: Tujuh individu termasuk seorang wanita warga Vietnam disyaki pengedar dadah, ditahan polis dalam serbuan di tiga lokasi berasingan di sekitar Arau dan Padang Besar, dekat sini sepanjang minggu ini.

Semua suspek berusia 30 hingga 43 tahun yang dipercayai menganggotai tiga kumpulan pengedar dadah berbeza, ditahan dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis antara Jumaat lalu sehingga pagi semalam.

Ketua JSJN negeri, Deputi Superintendan Hasmerra Hassan, berkata tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita Vietnam, kedua-duanya berusia lingkungan 30-an di Beseri, Padang Besar, kira-kira jam 10.50 pagi Jumaat lalu.

"Mereka berada dalam sebuah kereta jenis Suzuki Swift dilihat mencurigakan, sebelum pemeriksaan polis menemui satu beg kain berwarna biru mengandungi beberapa bungkusan kecil plastik lutsinar bersama dadah.

"Empat bungkus plastik mengandungi syabu seberat 52 gram, empat bungkus berisi ketulan kecil heroin seberat 88 gram dan satu bungkus mengandungi serbuk putih disyaki ketamin seberat 11.5 gram dan 158 biji pil disyaki Eramin 5," katanya.

gn4id:23735097

Bercakap pada sidang media di Bilik Gerakan JSJN Perlis, di sini hari ini, Hasmeera berkata, bagi kes kedua, pihaknya menyerbu sebuah rumah disewa seorang lelaki tempatan di Arau kira-kira jam 12.30 tengah hari Isnin lalu.

"Dalam serbuan itu, polis menemui lima bungkusan kecil plastik cerah mengandungi syabu dengan anggaran berat keseluruhan 22 gram. Selain itu, satu plastik kuning mengandungi 12 biji pil Yaba (kuda).

"Yang turut ditemui, wang tunai RM743 dipercayai hasil jual beli dadah serta satu ketulan mampat disyaki ganja seberat 46.7 gram dibalut kertas aluminium dan dibungkus dengan pita pelekat dan disembunyikan dalam pasu bunga di ruang tamu," katanya.

Serbuan ketiga, katanya, ke sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Baru Chuping, kira-kira jam 10.50 pagi.

"Empat lelaki berusia 30 hingga 43 tahun ditahan selepas pemeriksaan menemui satu bungkusan plastik besar dan tujuh bungkusan plastik kecil, masing-masing berisi ketulan dan serbuk putih heroin, anggaran berat keseluruhan 155.87 gram.

"Selain itu, satu bungkusan berisi hablur kristal dipercayai syabu seberat 97.16 gram, dua bungkusan berisi ganja dengan berat 6.42 gram setiap satu, satu bungkusan plastik cerah berisi 13 biji pil Yaba dan satu bungkusan kertas aluminium berisi Eramin 5," katanya.

Hasmerra berkata, semua suspek direman seminggu bermula tarikh tangkap untuk siasatan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X