Khamis, 9 November 2017 | 2:06pm

6,275 aduan salah guna media baharu

IPOH: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 6,275 aduan berkaitan penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi media baharu di seluruh negara dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan, Zulkarnain Mohd Yasin, berkata angka itu meningkat sebanyak 21 peratus berbanding 4,919 aduan sepanjang tahun lalu.

Katanya, aduan tertinggi membabitkan aplikasi media sosial Facebook iaitu sebanyak 75 peratus diikuti media sosial lain seperti WhatsApp dan Twitter.

"Kita melihat trend aduan juga didapati meningkat sejak dua kali pilihan raya sebelum ini.

"Kita sudah menjangkakan dan kita memperbanyakkan program kesedaran supaya pengguna bertanggungjawab memastikan kandungan yang dikongsi tidak melanggar undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Seminar Perundangan Mengenai Penyalahgunaan Media Sosial dan Impak Kepada Negara anjuran SKMM di sini.

Program itu yang disertai 1,000 peserta dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Zulkarnain berkata, trend peningkatan jumlah aduan bergantung kepada penggunaan jalur lebar iaitu semakin tinggi kadar penembusan jalur lebar maka semakin meningkat aduan yang diterima.

Beliau berkata, bagaimanapun bagi Perak, statistik aduan menurun sebanyak 25 peratus apabila hanya 44 aduan diterima dalam tempoh berkenaan berbanding 59 aduan tahun lalu.

Katanya, dari aspek melindungi pengguna, SKMM membuat sebanyak 2,765 sekatan terhadap laman sesawang dan jumlah berkenaan sebanyak 40 peratus.

"Ingin ditegaskan laman sesawang yang disekat adalah berkaitan isi kandungan yang merosakkan, lucah, bersifat palsu, sumbang, mengancam dan juga jelik.

"Bagi aspek isi kandungan pula, kita paling banyak menyekat unsur laman sesawang yang berbentuk jenayah siber phising (mencuri maklumat kata laluan bagi memasuki data maklumat peribadi seseorang)," katanya.

Berita Harian X