Khamis, 9 November 2017 | 12:42pm
KAPAL dipercayai dari Filipina yang ditahan di kawasan Sungai Timbang, Beluran. - Foto oleh Juzaimie Jazlan
KAPAL dipercayai dari Filipina yang ditahan di kawasan Sungai Timbang, Beluran. - Foto oleh Juzaimie Jazlan
KULIT kayu tangar yang ditemui dalam kapal yang ditahan penguatkuasa Jabatan Perhutanan Sabah di Sungai Timbang, Beluran. - Foto oleh Juzaimie Jazlan
KULIT kayu tangar yang ditemui dalam kapal yang ditahan penguatkuasa Jabatan Perhutanan Sabah di Sungai Timbang, Beluran. - Foto oleh Juzaimie Jazlan

Warga asing dalang curi kulit kayu bakau

BELURAN: Jabatan Perhutanan Sabah menahan sebuah kapal sarat muatan kulit kayu bakau atau 'kulit tangar' dipercayai dicuri dari kawasan hutan simpan paya bakau berhampiran kuala Sungai Timbang, di sini, awal pagi tadi.

Kapal berkenaan yang disyaki dari selatan Filipina dikesan memasuki sungai terbabit, pada kira-kira jam 2 pagi tadi sebelum ditahan anggota penguat kuasa jabatan itu yang melakukan intipan sejak awal.

Pegawai Perhutanan Beluran, Petin Kilou, berkata pemeriksaan mendapati kapal berkenaan berisi kira-kira lapan tan kulit kayu tangar yang dianggarkan bernilai RM48,000.

Beliau berkata, ketika dihampiri, tekong dan kira-kira 10 anak kapal bertindak melarikan diri ke dalam hutan paya bakau, manakala kapal dirampas dan ditunda ke jeti Jabatan Perhutanan Sungai Timbang, di sini.

"Sebelum ini kita mendapat maklumat berhubung pencerobohan hutan paya bakau di kawasan ini dan hasil rondaan, kita mendapati memang ada tanda pencerobohan yang dipercayai dilakukan warga asing.

"Berikutan itu, satu serbuan dilakukan kelmarin tetapi tiada tangkapan dibuat. Semalam, anggota penguatkuasa Jabatan Perhutanan melakukan intipan sebelum mengesan sebuah kapal awal pagi tadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dianggarkan 25 warga asing masih bersembunyi dalam hutan bakau berkenaan dan rondaan diteruskan bagi mengesan mereka.

Katanya, rampasan hasil hutan di kawasan berkenaan adalah yang kedua pada tahun ini selepas kes pertama pada Ogos lalu.

"Sejak 2014, Jabatan Perhutanan berjaya menahan lapan kapal dipercayai digunakan untuk mencuri kulit kayu tangar di sekitar kawasan Sungai Timbang," katanya.

Berita Harian X