Sabtu, 4 November 2017 | 8:44pm

Empat beranak maut kereta bertembung bas

MARANG: Empat beranak maut selepas kereta Proton Iswara Aeroback dinaiki bertembung dengan sebuah bas persiaran di Kilometer 33, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di depan Penjara Marang, di sini, petang tadi.

Dalam nahas jam 6.40 petang itu, semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah kerana tersepit dalam kereta yang terperosok di bahagian depan bas.

Mangsa dikenali sebagai Mhd Saari Muda, 52; dan isteri, Mizah Mamat, 56 serta anak mereka, Saerah, 18; manakala seorang lagi dipercayai anak saudara pasangan itu.

Mangsa yang beralamat di Kampung Baru Wakaf Tapai di sini, dikatakan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri kenduri di Kerteh, Kemaman.

KEADAAN PROTON Iswara yang bertembung dengan sebuah bas persiaran di Kilometer 33, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di depan Penjara Marang, Marang, petang tadi. - Foto Rosli Ilham

Ketika kejadian, kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Dungun ke Marang, manakala bas persiaran yang membawa 31 murid Sekolah Kebangsaan Sungai Baging, Kuantan, dari arah bertentangan.

Hanya seorang murid cedera di bibir, manakala pemandu serta penumpang bas lain terselamat. Murid berkenaan dalam perjalanan pulang selepas melawat pusat sains di Kuala Terengganu.

Nahas berlaku apabila bas persiaran itu terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung dengan kereta berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Hassan Embong, berkata sebuah jentera bersama enam anggota bomba dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 6.46 petang.

Katanya, kerja mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit selesai jam 8.30 malam.

"Mayat diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, adik Mhd Saari, Mohd Asbi Muda, 49, berkata dia terkejut apabila melihat kemalangan itu yang membabitkan keluarga abangnya.

Ketika kejadian, dia dan isteri dalam perjalanan pulang ke Paka selepas menghadiri kenduri di Kubang Tangga, Kuala Terengganu.

"Ketika melalui kawasan kejadian, saya terpandang kereta abang dan terus berhenti. Saya bersama orang ramai gagal mengeluarkan mereka kerana kereta remuk dan tersepit di bawah bahagian depan bas," katanya.

KEADAAN PROTON Iswara yang bertembung dengan sebuah bas persiaran di Kilometer 33, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di depan Penjara Marang, Marang, petang tadi. - Foto Rosli Ilham
Berita Harian X