Ahad, 29 Oktober 2017 | 3:23pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

4 suspek ditahan reman

SHAH ALAM: Empat individu termasuk seorang wanita ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes cubaan membunuh sepasukan anggota polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, keempat-empat mereka disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh pegawai polis dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960, memiliki tiga objek menyerupai pistol.

"Perintah reman terhadap suspek diperolehi untuk tempoh selama tujuh hari bermula 29 Oktober hingga 4 November ini untuk membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut," katanya.

Dalam kejadian petang semalam, polis berjaya memberkas tiga suspek lelaki dan seorang wanita yang disyaki terbabit dalam kes samun, di dua lokasi berasingan, di bandar raya ini.

Seorang daripada mereka turut mengalami kecederaan di paha kanannya selepas terkena tembakan yang dilepaskan anggota polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, sebelum itu anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan menjalankan siasatan terhadap suspek kes samun dengan memerhatikan sebuah kereta Toyota Vios yang diparkir di tempat letak kereta sebuah kondominium di Seksyen 14, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari kelmarin.

Katanya, pada jam 2.30 petang, dua lelaki dilihat menaiki kereta yang diperhatikan dan apabila menyedari kehadiran polis, suspek memecut laju serta melanggar kenderaan polis.

"Polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri kerana suspek berterusan melanggar kereta polis.

"Suspek kemudian berjaya memandu melarikan diri dan polis mengejar mereka hingga Seksyen 7, suspek kemudiannya berhentikan kereta dan keluar melarikan diri," katanya.

Bagaimanapun, Shafien berkata, kedua-dua suspek yang berusia 35 dan 31 itu berjaya ditangkap kira-kira 500 meter dari tempat kereta mereka ditinggalkan dengan suspek yang berusia 35 didapati mengalami kecederaan di paha kanan kerana terkena tembakan.

Shafien berkata, penangkapan dua suspek itu membawa kepada penahanan dua lagi suspek di kondominium berkenaan, seorang lelaki berusia 22 tahun dan seorang wanita berusia 32 tahun.

"Polis turut menemui tiga pucuk pistol tiruan dan beberapa telefon bimbit dipercayai hasil samun. Suspek yang cedera dibawa ke Hospital Shah Alam untuk dirawat," katanya.

Berita Harian X