Khamis, 26 Oktober 2017 | 2:34pm
Dua beradik berusia 27 dan 24 tahun bergelar ibu ditahan dalam Op Cegah 44/2017 AADK di rumah mereka di Kampung Syed Omar. - Foto ihsan AADK
Dua beradik berusia 27 dan 24 tahun bergelar ibu ditahan dalam Op Cegah 44/2017 AADK di rumah mereka di Kampung Syed Omar. - Foto ihsan AADK

Dua beradik positif syabu ditahan AADK

KANGAR: Dua adik beradik antara enam individu yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perlis selepas positif dadah jenis syabu dalam operasi yang dijalankan di daerah ini, awal pagi tadi.

Pengarah AADK Perlis, Azizah Ahmad, berkata dua beradik perempuan berusia 24 dan 27 tahun itu ditahan di rumah mereka di Kampung Syed Omar, di sini sekitar jam 1 pagi

."Ketika kejadian dua beradik ini sedang mengambil bahan terlarang bersama seorang lagi suspek lelaki yang juga penduduk kampung berkenaan.

"Berdasarkan siasatan, si kakak belajar mengambil bahan larangan itu daripada suaminya, manakala si adik yang baru bercerai mengambil dadah kerana terpengaruh dengan kakak dan abang iparnya.

"Ketika ditahan, turut berada di rumah itu adalah empat anak kedua-dua wanita berkenaan yang berusia tiga bulan hingga tujuh tahun, manakala suami si kakak tiada di rumah," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tiga lagi suspek iaitu semuanya lelaki berusia 15 hingga 50 tahun ditahan di lokasi berasingan di Kampung Padang Behor Kampung Teluk Wai dan Kampung Bendang Baru.

"Semua mereka ditahan mengikut pelbagai kesalahan iaitu mengikut Seksyen 6(2)(c) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Seksyen 6(2)(d) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

Dalam pada itu, seramai sembilan anggota penguatkuasa AADK yang diketuai oleh Anizan Romli terbabit dalam operasi yang bermula jam 8 malam hingga 6 pagi tadi.

Berita Harian X