Khamis, 26 Oktober 2017 | 10:46am
Keadaan motosikal yang ditunggang Muhammad Hakim Zulkipeli (gambar kecil) dalam kemalangan bersama sebuah kereta dan treler di Kilometer 286.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan. - Foto ihsan Pembaca

Lelaki maut digilis treler

IPOH: Seorang penunggang motosikal maut digilis treler, di Kilometer 286.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.10 malam itu, Muhammad Hakim Zulkipeli, 22, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan perut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Abdul Rani Alias, berkata siasatan awal mendapati, ketika kejadian motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari Ipoh menghala ke Kuala Lumpur.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa cuba memotong sebuah kereta yang berada di lorong kanan lebuh raya.

"Bagaimanapun ketika memotong, motosikal ditunggang mangsa bergesel dengan kereta terbabit sebelum terjatuh di atas lebuh raya.

"Treler yang berada di lorong kiri lebuh raya gagal mengelak lalu menggilis mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Jabatan Permaisuri Bainun (HRPB) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, pemandu kereta dan treler masing-masing berusia 36 dan 55 tahun tidak cedera.

Berita Harian X