Selasa, 24 Oktober 2017 | 1:42am
OPERASI Khas Motosikal Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) negeri Selangor di Plaza Tol PJS2. - Foto Zunnur al Shafiq
OPERASI Khas Motosikal Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) negeri Selangor di Plaza Tol PJS2. - Foto Zunnur al Shafiq

Masih ramai penunggang motosikal tiada lesen

PETALING JAYA: Sebanyak 224 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor pada Ops Khas Motosikal di Plaza Tol PJS 2 Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) menghala ke Sunway, malam tadi.

Tiada lesen memandu mendominasi kesalahan tertinggi dengan 233 kesalahan, diikuti 80 kesalahan lesen dan insurans kenderaan tamat tempoh.

Selain itu, pemeriksaan turut menemui 22 kesalahan teknikal seperti tiada cermin sisi, nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi, ubah suai ekzos dilakukan penunggang motosikal.

Susulan itu, JPJ mengeluarkan 224 saman dan 73 notis atas pelbagai kesalahan berkenaan.

Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib berkata, pada operasi bermula jam 8 malam, sebanyak 543 motosikal diperiksa dengan 167 daripadanya dikenakan tindakan.

"Tiada lesen memandu masih menjadi jumlah saman tertinggi yang dikeluarkan malam ini, yang mana pesalah memberi alasan yang sama iaitu tidak ada masa atau tidak cukup wang untuk mengambil lesen.

"Mereka kerap beri alasan yang sama iaitu tiada masa atau tidak cukup wang, pokok pangkalnya adalah sikap mereka yang sering ambil ringan dan bersikap acuh tidak acuh untuk memiliki lesen memandu," katanya pada sidang media di sini, tadi.

Selain itu, katanya pada operasi yang turut sertai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), seramai 10 penunggang motosikal menjalani ujian saringan air kencing dan lima daripada mereka didapati positif dadah.

"Sebanyak 23 saman atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan oleh polis trafik yang turut sama dalam operasi khas malam ini.

"Kita turut mengeluarkan 29 arahan sita kenderaan yang mana kesemua motosikal yang disita dibawa ke ibu pejabat kita di Shah Alam untuk tindakan seterusnya," kata Nazli lagi.

Operasi yang berakhir pada jam 12 tengah malam itu dijayakan 60 anggota terdiri 47 pegawai dan anggota JPJ, 10 pegawai AADK serta tiga anggota polis trafik.

Berita Harian X