Jumaat, 20 Oktober 2017 | 1:00pm
DUA pengarah syarikat, K Selvarajah, 45 (kiri) dan Jazlan Abdullah, 46, didakwa di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan menyalahguna wang berjumlah RM27,500 milik seorang wanita yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat mereka. - Foto Muhaizan Yahya
DUA pengarah syarikat, K Selvarajah, 45 (kiri) dan Jazlan Abdullah, 46, didakwa di Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan menyalahguna wang berjumlah RM27,500 milik seorang wanita yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat mereka. - Foto Muhaizan Yahya

2 pengarah dituduh salah guna wang

IPOH: Dua pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, atas dua pertuduhan menyalahguna wang berjumlah RM27,500 milik seorang wanita yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat mereka.

Bagi pertuduhan pertama, K Selvarajah, 45 dan Jazlan Abdullah, 46, dituduh menggunakan wang sebanyak RM13,500 kepunyaan Fatimah Shamsulaman, 55, yang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank milik Sunner Group International Bhd.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Station 18, di sini pada 23 November 2015, kira-kira jam jam 10.04 pagi.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan curang menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM14,000 milik individu sama yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Public Bank Jalan Pasir Puteh di sini pada 24 November 2015 kira-kira jam 11.40 pagi.

Kedua-dua mereka didakwa secara bersama mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebatan serta denda.

Kedua-dua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras di hadapan Majistret Siti Hafiza Jaafar, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, K Hari Krishnan.

Mahkamah menetapkan 9 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan mengarahkan kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan sebanyak RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa masing-masing kepada mahkamah hingga prosiding kes selesai.

Berita Harian X