Khamis, 12 Oktober 2017 | 6:30pm

Nelayan asing ceroboh perairan Sarawak ditahan

KUCHING: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negeri ini, kelmarin.

Bot nelayan bersama seorang juragan dan lapan awak-awak itu ditahan selepas dikesan di kedudukan kira-kira 206 batu nautika, timur laut Tanjung Po.

Pengarah Daerah Maritim Kuching, Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, ketika ditahan pada jam 12.05 tengah malam, kumpulan nelayan terbabit sedang menangkap ikan menggunakan kaedah pancing rawai.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati seramai sembilan orang nelayan berusia berusia antara 18 hingga 45 tahun bekerja di atas bot berkenaan.

"Dianggarkan 200 kilogram ikan pelbagai jenis berserta kelengkapan alat menangkap ikan jenis rawai telah ditemui.

"Bot nelayan asing itu kemudiannya dibawa ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, Muara Tebas dan tiba petang semalam," katanya.

Shahref berkata, semua nelayan asing itu kini ditahan untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985.

"Jika sabit kesalahan, bot beserta peralatan menangkap ikan boleh disita dan tekong serta awak-awak boleh dikenakan denda masing-masing tidak melebihi RM1 juta dan RM100,000 setiap seorang termasuk hukuman penjara," katanya.

Berita Harian X