Jumaat, 6 Oktober 2017 | 9:13am
BOTOL minuman keras yang dipecahkan di depan pintu pagar utama bangunan pentadbiran Kerajaan Selangor, semalam. - Foto Faiz Anuar
BOTOL minuman keras yang dipecahkan di depan pintu pagar utama bangunan pentadbiran Kerajaan Selangor, semalam. - Foto Faiz Anuar

Jamal ditahan selepas pecah botol arak

SHAH ALAM: Pengerusi Gabungan Gerakan Merah Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos, dan tujuh yang lain ditahan di Sekinchan awal pagi tadi, susulan tindakan memecahkan botol minuman keras di pintu pagar utama bangunan pentadbiran Kerajaan Selangor, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada pengawal keselamatan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai satu perhimpunan haram dan dibaca bersama Seksyen 268 Kanun Kesiksaan kerana menyebabkan kemudaratan awam ekoran tingkah laku yang dilakukan oleh peserta perhimpunan.

"Pada 6 Oktober kira-kira jam 1.45 pagi, lapan individu ditahan di Sekinchan, Sabak Bernam.

"Perintah reman akan dikemukakan di Mahkamah Shah Alam, pagi ini," katanya dalam satu kenyataan, pagi ini.

Fadzil berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi semalam, sekumpulan lelaki 25 orang diketuai Jamal mengadakan sidang media membantah penganjuran 'The Better Beer Festival 2017' di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam.

Katanya, kumpulan itu turut membawa kira-kira 10 kotak berisi bir dan memecahkan semua botol berkenaan menggunakan sebatang penukul simen di hadapan pintu pagar utama bangunan itu sebagai simbolik bantahan penganjuran pesta berkenaan.

Berita Harian X