Ahad, 1 Oktober 2017 | 6:36pm
NELAYAN Vietnam yang ditahan menaiki lori selepas ditahan oleh Penguatkuasa Maritim di Pengkalan Kemaman. - Foto Rosli Ilham
NELAYAN Vietnam yang ditahan menaiki lori selepas ditahan oleh Penguatkuasa Maritim di Pengkalan Kemaman. - Foto Rosli Ilham
PENGARAH Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia APMM Pengkalan Kemaman, Lefternan Komanden Muhammad Rezal Bashah (kiri) menunjukkan sebahagian hasil tangkapan selepas berjaya menahan tiga buah bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara di jeti Kemaman. - Foto Rosli Ilham

3 bot asing ditahan tangkap gamat, ikan di perairan negara

CHUKAI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga bot nelayan asing ketika menangkap ikan dan gamat di perairan negara ini.

Pengarah Maritim Pengkalan Kemaman, Leftenan Komander Maritim Muhammad Rezal Kamal Bashah, berkata bot bersama awak-awak dan tekong ditahan menerusi Operasi Perkasa Timur dan Operasi Marikh sejak Khamis lalu.

Katanya, bot menangkap gamat ditahan kira-kira jam 7.35 petang Khamis lalu, kira-kira 40 batu nautika dari Kuala Kemaman/

"Pemeriksaan menemui kira-kira 50 kilogram (kg) gamat dalam bot itu yang dipercayai menggunakan lesen dan permit palsu. Semua awak-awak dan tekong tiada dokumen pengenalan diri," katanya hari ini. 

Katanya, dua lagi bot yang menangkap ikan secara tunda ganding turut ditahan kira-kira 48 batu nautika dari Kuala Kemaman, semalam.

"Bot pertama ditahan jam 6 petang, bot kedua jam 6.18 petang. Pemeriksaan lanjut menemui ikan campur dengan berat keseluruhan dianggarkan 1,000kg selain 20,000 liter minyak diesel," katanya. 

Muhammad Rezal berkata, kedua-dua bot gagal mempamerkan lesen sah Jabatan Perikanan Malaysia dan semua 25 awak-awak serta tekong tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah.

"Bot itu juga dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya. 

Beliau berkata, semua nelayan yang ditahan berusia 16 hingga 52 tahun, dibawa ke Jeti APMM Kemaman untuk siasatan lanjut. 

"Nilai ketiga-tiga bot dan hasil tangkapan dianggarkan RM2.2 juta. Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985," katanya. 

Berita Harian X