Rabu, 20 September 2017 | 3:55pm
PENYEDIAAN kemudahan gas pemadam api di Kompleks Tahfiz Anak Yatim Darul Hijrah, Chendering. - Foto Ghazali Kori
KEADAAN sekitar bangunan Kompleks Tahfiz Anak Yatim Darul Hijrah, Chendering. - Foto Ghazali Kori
KEADAAN sekitar bangunan Kompleks Tahfiz Anak Yatim Darul Hijrah, Chendering ketika tinjauan aspek keselamatan dan aspek pematuhan garis panduan. - Foto Ghazali Kori
RUANG kelas tempat pembelajaran di Kompleks Tahfiz Anak Yatim Darul Hijrah, Chendering. - Foto Ghazali Kori

Pusat tahfiz lemah soal keselamatan

KUALA TERENGGANU: Hampir semua daripada 15 pusat tahfiz yang diperiksa bomba negeri ini sejak 17 September lalu, tiada jalan keluar yang selesa dan tangga yang baik sekiranya berlaku kecemasan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Sharikan Bustaman, berkata semua pengusaha pusat tahfiz di negeri ini diminta menambah jumlah tangga dan pintu keluar di asrama dan bilik darjah, bagi memudahkan usaha menyelamat sekiranya berlaku kecemasan.

Beliau berkata, ada 47 pusat tahfiz berdaftar dengan bomba dan 15 daripadanya sudah diperiksa dengan kebanyakannya hanya ada satu tangga dan laluan keluar yang sempit.

"Bagaimanapun, kita tidak membuat sebarang penguatkuasaan kepada pusat tahfiz yang bermasalah kerana pada peringkat ini kita cuma memberi taklimat serta mengajar cara melepaskan diri serta pemadaman api kepada semua penghuni pusat berkenaan.

"Dengan cara ini, kita berharap pengusaha, pelajar, warden dan tenaga pengajar tahu langkah keselamatan yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan," katanya selepas mengadakan lawatan di Kompleks Tahfiz Anak Yatim Darul Hijrah, Chendering, di sini, hari ini.

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu membuat demonstrasi memadam kebakaran kepada pelajar di asrama Kompleks Tahfiz Anak Yatim Darul Hijrah, Chendering. - Foto Aslina Abu Bakar

Beliau berkata, pihak bomba akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pelajar tahfiz termasuk warden dan guru mendapat maklumat dan kemahiran terutama cara menyelamatkan diri ketika berlaku kecemasan.

Sharikan berkata, pihaknya juga meminta semua pusat tahfiz sama ada yang sudah berdaftar atau tidak segera hadir ke kursus keselamatan peringkat negeri yang akan dijalankan tidak lama lagi.

"Kita akan pastikan semua pusat tahfiz berdaftar dilawati dalam tempoh tidak sampai dua bulan. Malah, kita juga akan laksanakan latihan mengejut di seluruh pusat tahfiz bagi melihat sama ada pelajar dan warden bersedia atau tidak sekiranya berlaku kecemasan," katanya.

Sementara itu, Pengasas Kompleks Tahfiz Anak Yatim Darul Hijrah, Wan Muhammad Mizan W Abdul Latif berkata, kejadian kebakaran di asrama lelaki akibat lintar pintas tahun lalu, membuatkan pihaknya sedar akan keperluan berdaftar dengan pihak berkuasa.

Selepas kebakaran itu, katanya, mereka menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan sebagai cara mencegah musibah dan bencana.

"Kami juga kini dalam proses akhir mendapatkan kelulusan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) daripada pihak bomba dan dalam proses akhir pendaftaran dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.

"Kami juga sudah berjumpa dengan Unit Perancang Bangunan, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu untuk melihat beberapa lagi keperluan dan garis panduan yang perlu dipatuhi," kata pengasas pusat tahfiz yang menempatkan 160 pelajar termasuk 65 anak yatim dan fakir miskin.

Berita Harian X