KUALA LUMPUR: Masuk hari ketujuh tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul al-Quran Ittifaqiyah, orang ramai masih tidak putus-putus berkunjung ke tempat kejadian.
Rata-rata mereka mahu melihat secara dekat pusat tahfiz itu yang mengorbankan 21 pelajar dan dua tenaga pengajarnya.
Ada antara pengunjung yang hadir mengambil peluang itu untuk meninjau sekitar kawasan pusat tahfiz selain merakamkan gambar di premis dan struktur yang terbakar di tingkat tiga.

Tidak kurang mereka yang hadir untuk menghulurkan sumbangan wang tunai kepada wakil tahfiz berkenaan bagi meringankan beban waris dan keluarga mangsa.
Setakat jam 12 tengah hari, keadaan trafik masih terkawal, namun dijangka sesak apabila orang ramai mengambil peluang masa rehat makan tengah hari nanti untuk berkunjung ke situ.
Sementara itu, tinjauan BH mendapati Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada di dalam pusat tahfiz berkenaan dipercayai bagi mengumpul bukti tambahan kejadian kebakaran berkenaan.
Minggu lalu, polis menahan tujuh remaja yang dipercayai terbabit dalam rancangan membakar dengan sengaja bangunan terbabit.
