Selasa, 19 September 2017 | 12:27pm
MOHD Azhar Hamin (tengah) menunjukkan wang yang dirampas dipercayai hasil kutipan judi online secara haram semasa sidang media di Balai Polis Bandar Sandakan, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
MOHD Azhar Hamin (tengah) menunjukkan wang yang dirampas dipercayai hasil kutipan judi online secara haram semasa sidang media di Balai Polis Bandar Sandakan, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Kumpul hasil judi dalam talian di restoran

SANDAKAN: Kegiatan sebuah restoran yang menjadi pusat pengumpulan hasil judi dalam talian secara haram terbongkar susulan serbuan ke atas premis di Jalan Pryer, di sini, petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 2.30 petang itu, seorang lelaki berusia 31 tahun yang dipercayai pengurus untuk mengutip hasil judi online terbabit ditahan.

Turut dirampas ialah wang tunai RM10,365 dipercayai hasil kutipan judi dalam talian serta dua telefon bimbit mengandungi senarai nama dipercayai ejen kegiatan haram terbabit.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata pemeriksaan mendapati premis terbabit digunakan sebagai pusat pengumpulan hasil kutipan dan sudah lama beroperasi.

"Pemeriksaan turut mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis amphetamine.

"Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya dalam sidang media di Balai Polis Bandar Sandakan, di sini, pagi ini.

Dalam kes berasingan, dua lelaki ditahan kerana memiliki 11 paket dadah jenis syabu seberat kira-kira 58 gram dalam operasi tapis bersepadu di kawasan setinggan Kampung Forest, dekat sini, kira-kira jam 2 petang semalam.

Mohd Azhar berkata, suspek pertama ialah rakyat tempatan berusia 45 tahun, manakala suspek kedua warganegara asing berumur 46 tahun.

"Pemeriksaan turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah, namun tiada rekod kesalahan lalu," katanya.

Berita Harian X