Ahad, 10 September 2017 | 6:43pm
BOT nelayan asing yang ditahan APMM pada jarak kira-kira 10 batu nautika barat Pulau Kukup, Johor Bahru - Foto ihsan APMM.
BOT nelayan asing yang ditahan APMM pada jarak kira-kira 10 batu nautika barat Pulau Kukup, Johor Bahru - Foto ihsan APMM.

APMM tahan bot nelayan asing

JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan asing disyaki menceroboh kawasan Perairan Perikanan Malaysia pada jarak kira-kira 10 batu nautika barat Pulau Kukup, dekat sini, semalam.

Bot KM Punggur Bahari 88 berdaftar di Cirebon, Indonesia itu ditahan kira-kira jam 10.45 pagi ketika berada di perairan negara.

Pengarah Maritim Daerah 6 Johor Bahru, Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman, berkata bot itu ditahan dalam Ops Satria Selatan di perairan barat Johor dan ketika ditahan tiada hasil tangkapan hasil laut dirampas disebabkan bot itu baru keluar dari jeti di Indonesia dan baru mula beroperasi pada pagi itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot dikendalikan seorang tekong dan 12 awak-awak warganegara Indonesia berusia antara 17 hingga 49 tahun.

"Bot nelayan dengan tekong dan awak-awak berkenaan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai, dekat sini, untuk disiasat mengikut Akta Perikanan 1685 dan akta berkaitan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Syed Nor Adli berkata, Maritim Malaysia sentiasa memandang serius kesalahan itu kerana ia akan menjejaskan pendapatan nelayan tempatan dan pesisir pantai di samping menjejaskan ekosistem pembiakan ikan di kawasan terbabit.

Katanya, Maritim Malaysia akan meneruskan usaha membanteras kemasukan nelayan asing yang menangkap ikan di perairan Malaysia.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan yang menyalahi undang-undang boleh membantu pihak berkuasa membanteras jenayah berkenaan.

"Masyarakat boleh menyalurkan maklumat jenayah di laut kepada Maritim Malaysia Johor Bahru di 010-3211066 atau Pusat Operasi 07-2199496 dan Talian Mers 999," katanya.

Berita Harian X