Ahad, 10 September 2017 | 12:10am
PENGARAH Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PENGARAH Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Bomba lewat terima panggilan

SEREMBAN: Kelewatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima maklumat kebakaran Pasar Besar Seremban di sini, malam ini menyebabkan tingkat atas bangunan dua tingkat berusia kira-kira 40 tahun, musnah sepenuhnya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri menerima maklumat kebakaran pasar berkenaan pada jam 7.36 malam, iaitu kira-kira setengah jam selepas bangunan itu terbakar.

Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima laporan setengah jam selepas kebakaran dengan api sudah merebak ke hampir seluruh tingkat satu pasar borong utama di negeri ini.

"Ketika anggota bomba tiba, api sudah marak di bahagian atas bangunan dengan kira-kira 80 peratus sudah terbakar.

"Kami tidak pasti kenapa tiada sesiapa membuat laporan lebih awal sedangkan pasar itu terletak di kawasan terbuka dan ramai orang. Malah, saya difahamkan aktiviti jualan borong sayur sudah bermula di tingkat bawah jam 6 petang," katanya malam ini.

Sebaik menerima panggilan, JBPM negeri menghantar tujuh jentera dan 40 pegawai serta anggota ke lokasi.

Bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke bahagian bawah bangunan itu, namun seluruh tingkat satu kompleks itu musnah.

Norazam berkata, pihaknya percaya kebakaran berpunca di bahagian gerai makanan yang terletak di bahagian tengah tingkat satu bangunan berkenaan yang ketika itu sudah ditutup.

"Tiada mangsa terperangkap dalam kebakaran ini," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban, Datuk Abd Halim Abd Latif, berkata seramai 197 peniaga yang beroperasi di tingkat satu terjejas berikutan kebakaran pasar yang dibina pada tahun 1975.

"Kami memberi keutamaan untuk membantu peniaga yang terjejas serta akan melantik perunding untuk menentukan tahap keselamatan bangunan ini," katanya.

Tingkat satu bangunan itu menempatkan 99 gerai makan, kedai bunga (10), gerai borong ikan (16), gerai jualan taufu (14) dan gerai buah (58), manakala di tingkat bawah mempunyai 426 lot gerai menjual ikan, ayam, itik, daging dan sayur.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon dan

EXCO Kerajaan negeri, Datuk Jalaluddin Alias melawat tempat kejadian ketika kerja memadam kebakaran dilakukan.

Berita Harian X