Selasa, 29 Ogos 2017 | 8:40pm
PELBAGAI jenis dadah dirampas dalam serbuan di dua lokasi di ibu kota. - Foto Ihsan PDRM
PELBAGAI jenis dadah dirampas dalam serbuan di dua lokasi di ibu kota. - Foto Ihsan PDRM

Sindiket edar dadah Lembah Klang tumpas

KUALA LUMPUR:  Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah aktif di Lembah Klang selepas menahan empat suspek termasuk seorang wanita warga asing.

Dalam serbuan Sabtu lalu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM348,500.

Kegiatan sindiket terbabit terbongkar susulan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun bersama satu paket berisi bahan disyaki methamphetamine seberat 13 gram selepas polis menahan kenderaannya di Jalan Tong Shin, di sini, kira-kira jam 4.30 petang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Faisal Yahya, berkata hasil soal siasat ke atas suspek membawa serbuan ke atas sebuah kondominium di Jalan Ipoh.

"Dalam serbuan itu, polis menahan dua lagi lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam, kesemuanya berusia antara 23 hingga 26 tahun.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui sejumlah dadah lagi dalam paket dan bungkusan antaranya 101 gram methamphetamine, 456 gram ketamin, 1.01 kilogram serbuk ekstasi, 298 biji pil ekstasi dan 4,400 biji pil Erimin 5," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Faisal, semua suspek kini direman tujuh hari sehingga 2 September ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Berita Harian X