Selasa, 29 Ogos 2017 | 5:10pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Jel sehari, denda RM1,500 curi baju-T Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Seorang pesara dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan mencuri 12 helai baju-T Sukan SEA bernilai RM800, Isnin lalu.

Majistret Mahyuddin Mohmad Som membuat keputusan itu terhadap Hon Kim Nien, 57, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mahyuddin memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 28 Ogos lalu dan mengarahkan Kim Nien dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri 12 helai baju-T jenama FBT Sea Games 9th ASEAN Para Games bernilai RM800 milik syarikat Muhammad Adib Haiman Mohd Azri, 21.

Perbuatan tertuduh itu didakwa dilakukan di khemah jualan baju jenama FBT Kompleks Sukan Bukit Jalil, Stadium Bukit Jalil Cheras, di sini, pada jam 4.30 petang, 28 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon supaya dikenakan denda minimum atas alasan dia tidak lagi bekerja dan menghidapi darah tinggi serta kencing manis.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Berita Harian X