Khamis, 24 Ogos 2017 | 6:44pm
KETUA Pintu Masuk Rantau Panjang, Penolong Pegawai Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Mohd Junaidi Noh (kanan) bersama rakan sejawatnya, Che Nor Che Hab memberi makanan kepada 27 ekor lembu seludup dari pengkalan haram Thailand yang ditempatkan di kandang Stesen Kuarintin Haiwan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Rantau Panjang. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Askar rampas lembu seludup

RANTAU PANJANG: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merampas 27 ekor lembu seludup bernilai RM94,500, dalam serbuan di pangkalan haram di Wakaf Zink, Rantau Panjang, semalam.

Serbuan jam 12.45 tengah hari itu hasil risikan menerusi Ops Wawasan.

Panglima 8 Briged, Brig Jen Nazari Abd Hadi, berkata anggotanya membuat risikan ke lokasi selepas mendengar bunyi enjin bot di sekitar Sungai Golok.

Sebaik anggota tentera menghampiri bot berkenaan, dua lelaki yang berada dalam bot itu terjun ke dalam Sungai Golok.

"Hasil pemeriksaan, kita menemui 27 ekor lembu yang berada di tebing termasuk dua sedang menyeberangi Sungai Golok untuk dijual di pasaran tempatan.

"Lembu berkenaan dibeli dari Thailand dengan harga sekitar RM3,500 seekor dan mendapat permintaan tinggi menjelang Aidiladha," katanya.

Beliau berkata, lembu berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan lanjut.

"Ini rampasan terbesar tahun ini dan kita menjangkakan penyeludupan lembu aktif memandangkan permintaan haiwan itu tinggi menjelang Aidiladha," katanya.

Berita Harian X