Rabu, 23 Ogos 2017 | 12:19pm
Nadzri Md Noh, 37, keluar dari mahkamah selepas tidak mengaku bersalah atas lima pertuduhan menghantar komunikasi lucah kepada seorang wanita pada Disember 2014 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. - Foto NSTP/Zain Ahmad
Nadzri Md Noh, 37, keluar dari mahkamah selepas tidak mengaku bersalah atas lima pertuduhan menghantar komunikasi lucah kepada seorang wanita pada Disember 2014 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. - Foto NSTP/Zain Ahmad

Pembantu restoran didakwa hantar gambar lucah

JOHOR BAHRU: Seorang pembantu restoran tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas lima pertuduhan menghantar komunikasi lucah kepada seorang wanita pada Disember 2014.

Tertuduh, Nadzri Md Noh, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, Nadzri didakwa menggunakan aplikasi WhatsApps secara sedar memuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang membacanya.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan antara kira-kira 12.34 tengah malam pada 29 Disember 2014 hingga 1.49 pagi pada 31 Disember 2014, di lokasi berbeza terhadap mangsa yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta yang sama.

Dia boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Kes dikendalikan Pengarah Jabatan Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd Sophian Zakaria, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM3,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X