Selasa, 22 Ogos 2017 | 3:37pm

Suspek larikan budak perempuan gila seks

PORT DICKSON: Pelajar sebuah institusi pengajian tinggi berusia 21 tahun yang melarikan seorang kanak-kanak perempuan sembilan tahun dari rumahnya di sini, minggu lalu, dipercayai 'gila seks'.

Sebelum menjadikan kanak-kanak itu mangsa, dia terlebih dahulu cuba melarikan pelajar perempuan berusia 17 tahun dari asrama sebuah sekolah agama di Teluk Kemang di sini, 13 Ogos lalu, namun gagal.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad, berkata suspek mengaku menceroboh asrama berkenaan antara jam 3 hingga 4 pagi dan menekup mulut serta hidung mangsa yang sedang tidur menggunakan kain dibasahkan dengan cecair pencuci lantai.

"Bagaimanapun, cubaan itu gagal apabila pelajar terbabit tersedar dan menjerit, menyebabkan suspek melarikan diri," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, kira-kira jam 4 pagi keesokan harinya, suspek menceroboh rumah keluarga kanak-kanak itu pula dan melarikan mangsa melalui pagar rosak sebelum menaiki kereta yang diletakkan di kawasan kedai tidak jauh dari situ.

Zainudin berkata, mangsa dibawa ke rumah suspek di Bandar Springhill dan disembunyikan selama kira-kira 16 jam dengan tangan serta kakinya diikat pada kerusi, selain diugut supaya tidak melarikan diri.

"Pemeriksaan perubatan menemui kesan luka pada kemaluan mangsa selain lebam pada pergelangan tangan dan kaki akibat diikat pada kerusi," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati keluarga suspek tiada di rumah berkenaan ketika kejadian.

Katanya, suspek turut dipercayai terbabit dalam kes curi sebuah motosikal di surau taman perumahannya apabila polis menemui kenderaan itu disembunyikan di rumahnya.

Zainudin berkata, polis turut merampas tiga telefon pintar, beberapa kad bank, pakaian dalam wanita dan peralatan pecah rumah, selain kereta, kerusi serta tali yang dipercayai digunakan ketika melarikan kanak-kanak itu.

Katanya, suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban esok, dengan enam pertuduhan mengikut Seksyen 4(a) dan Seksyen 4 (b) Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 serta masing-masing satu, mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan kecil 1955.

Dalam kejadian 14 Ogos lalu, kanak-kanak itu disedari hilang oleh bapanya ketika mahu mengejutkannya untuk ke sekolah, sebelum mendapati tingkap kaca terbuka dan pintu rumahnya tidak berkunci, akibat diceroboh.

ANGGOTA polis menunjukkan tempat kanak-kanak perempuan sembilan tahun yang disorokkan sebelum dilarikan. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan
ANGGOTA polis menunjukkan tempat kanak-kanak perempuan sembilan tahun yang disorokkan sebelum dilarikan. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan
Berita Harian X