Selasa, 15 Ogos 2017 | 2:26pm

Didenda benar penipu guna akaun bank di FB

SEREMBAN: Padah membenarkan akaun banknya digunakan bagi tujuan penipuan membabitkan iklan pinjaman wang di Facebook (FB), seorang pemandu peribadi didenda RM700 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nurulfitriza Abd Latif membuat keputusan itu terhadap Syed Ahmad Nashrul Sayed Othman, 39, selepas tertuduh mengaku salah apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Bapa kepada dua anak yang masih bersekolah itu, didakwa menolong menyembunyikan harta curi iaitu wang tunai berjumlah RM500 di sebuah rumah di Jalan TS2/1D, Taman Semarak, Nilai dekat sini, pada 9 Ogos lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, mangsa penipuan itu, menghubungi seorang lelaki lain yang dikenali sebagai Martin untuk bertanya mengenai pinjaman peribadi berjumlah RM30,000 selepas melihat iklan di FB pada 9 Ogos lalu.

Mangsa kemudian memasukkan wang RM500 ke dalam akaun bank Hong Leong atas nama tertuduh pada hari yang sama.

Terdahulu, dalam rayuan mengurangkan hukuman, tertuduh memberitahu mahkamah, gajinya hanya RM1,700 sebulan dan perlu menanggung keluarganya, termasuk isteri yang tidak bekerja dan menghidap penyakit kanser.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya Soo Kok Weng, manakala tertuduh diwakili peguam R Kanapathy.

Berita Harian X