JOHOR BAHRU: Seorang jurulatih kelab catur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan kelucahan melampau ke atas dua anak muridnya berusia sembilan dan 14 tahun.
Kenny Yee Jeun Fui, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohamad Khalid Abu Karim.
Dalam pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau dengan memegang dan meraba kemaluan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun di sebuah kelab catur di Kulai, dekat sini pada 30 Jun lalu kira-kira jam 4.15 petang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa meraba mangsa berusia 14 tahun dalam sebuah kereta di kawasan Bandar Kulai pada 21 Mac lalu, kira-kira jam 10.30 malam.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 377(d) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asmah Zainal Ariffin, manakala tertuduh diwakili peguam HK Yoong.
Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 ke atas tertuduh dan menetapkan 5 September sebagai tarikh sebutan semula kes.