Sabtu, 5 Ogos 2017 | 6:25pm

Lelaki paksa 2 kanak-kanak tiru aksi lucah ditahan

IPOH: Seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan hari ini kerana dipercayai memaksa dua kanak-kanak meniru dan melakukan aksi lucah selepas menunjukkan video lucah menerusi telefon bimbitnya di sebuah rumah di Kampung Sungai Buloh dekat Sungai Siput.

Dua kanak-kanak lelaki, masing-masing berusia sembilan dan 10 tahun, itu dipercayai dipaksa melakukan aksi tidak senonoh itu pada minggu lalu dalam sebuah bilik di rumah mangsa ketika kedua ibu bapa mangsa keluar bekerja.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk Gan Tian Kee, berkata suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga Selasa untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, ibu mangsa membuat laporan polis pada jam 10 pagi semalam di Balai Polis Sungai Siput mendakwa suspek datang ke rumahnya ketika dia dan suami keluar bekerja sebelum menunjukkan video lucah kepada dua kanak-kanak terbabit.

"Suspek kemudian menyuruh kedua-dua mangsa meniru aksi lucah dalam video berkenaan dalam bilik.

"Selepas kejadian, kedua-dua mangsa diberikan wang sebanyak RM4 supaya tidak mendedahkan perkara itu kepada ibu bapa mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tian Kee berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk menerima rawatan lanjut dan pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan pada tubuh mangsa.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 (b) dan 15 Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X