Sabtu, 5 Ogos 2017 | 10:47am
Nahas dua treler dan sebuah lori yang menyebabkan dua maut di Kilometer 257 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba

2 maut nahas tiga kenderaan berat

KUALA KANGSAR: Pemandu dan kelindan sebuah treler maut selepas kenderaan berat muatan besi itu merempuh treler lain di Kilometer 257 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini, awal pagi tadi.

Kemalangan jam 4.43 pagi itu turut membabitkan sebuah lagi lori bermuatan kayu lapis. 

Mangsa yang maut ialah pemandu treler muatan besi, Mohd Amin Amin Mohamad Noor, 52, manakala identiti kelindan belum dikenal.

Kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian.

Treler dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai mengalami masalah brek sebelum merempuh treler membawa muatan barang elektronik di lorong kiri lebuh raya berkenaan.

Treler itu kemudian merempuh sebuah lori yang berada di lorong kiri lebuh raya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kejadian.

"Sebaik tiba, anggota bomba mendapati pemandu dan kelindan tersepit sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

"Anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis.

"Operasi selesai pada jam 6.29 pagi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Berita Harian X