Selasa, 1 Ogos 2017 | 6:25pm

3 ahli kongsi gelap direman bantu kes bunuh

SHAH ALAM: Tiga suspek dipercayai ahli kongsi gelap ditahan reman sehingga 4 Ogos ini bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki pada 4 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Shafien Mamat berkata, pada awalnya kes itu disiasat sebagai kemalangan berdasarkan keadaan mangsa yang ditemui cedera parah dan berlumuran darah berhampiran sebuah kedai di Kota Kemuning pada 30 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat. - Foto Muhammad Sulaiman

Bagaimanapun, katanya, laporan bedah siasat terhadap mangsa mendapati mangsa lelaki berusia 34 tahun itu mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian badan akibat dipukul dipercayai menggunakan senjata tajam.

"Polis memanggil teman wanita mangsa yang berusia 25 tahun dan berdasarkan keterangan yang diambil, kami dimaklumkan satu pergaduhan berlaku antara mangsa dan ketiga-tiga suspek, dipercayai kerana berebut kawasan.

"Pada 21 Julai lalu, kira-kira jam 5.30 petang, polis menahan seorang lelaki yang mempunyai enam rekod jenayah di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), manakala dua lagi suspek ditahan pada 24 Julai lalu.

"Polis percaya kes ini ada kaitan dengan kegiatan kongsi gelap," katanya.

Shafien berkata, polis turut merampas sebuah kereta yang digunakan ketika pergaduhan itu dan selepas diperiksa, kereta itu dilaporkan dicuri di Brickfields, Kuala Lumpur.

Katanya, berdasarkan rekod, mangsa juga mempunyai 14 rekod jenayah dan dikehendaki membabitkan kes samun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X