Isnin, 31 Julai 2017 | 1:11pm
GURVIDER Singh dan Simrandeep Kaur.

2 beradik maut, tersepit dalam kereta

IPOH:  Dua beradik maut dalam kemalangan tiga kenderaan, termasuk sebuah treler membawa kenderaan di Kilometer 290.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan dipercayai berlaku pada jam 2.45 pagi itu, Gurvider Singh, 22 dan kakaknya, Simrandeep Kaur, 25, maut di tempat kejadian akibat cedera parah selepas tersepit dalam kereta PERODUA Bezza dinaiki mereka. 

Lelaki yang memandu kereta itu cedera, namun identitinya belum dikenal pasti. Dua lagi lelaki yang menaiki PERODUA Myvi serta pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 2.51 pagi. 

"Ketika anggota bomba tiba di lokasi kejadian, kereta Myvi terbalik di atas jalan dan dua mangsa yang menaiki kereta itu berada di dalamnya, namun kedua-duanya tidak cedera. 

"Tiga mangsa yang menaiki kereta Bezza dipercayai merempuh penghadang jalan dan dua daripada mereka tersepit dalam kenderaan itu. Mereka disahkan maut di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kedua-dua mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital sama untuk rawatan. 

Berita Harian X