Isnin, 31 Julai 2017 | 2:12am

'Mat Motor' terkepung, 391 saman dikeluarkan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 391 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik manakala seorang ditahan kerana disyaki terbabit kes curi motosikal dalam Op Tutup di Jalan Raja Laut menghala ke Jalan Sultan Ismail, tadi.

Dalam operasi itu bermula jam 9.30 malam oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan tamat tempoh dan tiada lesen memandu dikesan menjadi kesalahan tertinggi.

Sebanyak 391 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Tutup di Jalan Raja Laut menghala ke Jalan Sultan Ismail, oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur malam tadi. - Foto ihsan polis
Sebanyak 391 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Tutup di Jalan Raja Laut menghala ke Jalan Sultan Ismail, oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur malam tadi. - Foto ihsan polis

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain, berkata sebanyak 66 saman dikeluarkan atas kesalahan LKM tamat tempoh dan 58 saman kerana tiada lesen memandu dalam operasi selama dua jam yang memfokuskan penunggang motosikal itu.

"Antara kesalahan lain yang dikenakan saman adalah lesen tamat tempoh (42 saman), nombor pendaftaran tidak ikut peraturan dan 'fancy' (tidak jelas) (76 saman), tiada nombor pendaftaran (55 saman) dan tiada cermin sisi (26 saman).

"Selain itu, sebanyak 44 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal yang tidak menampal pelekat 'P' dan 24 saman kerana tidak menampal pelekat 'L'," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Nadzri, seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam satu kes curi motosikal yang dilaporkan di Sentul turut ditahan dalam operasi itu yang berakhir pada jam 11.45 malam.

"Objektif utama operasi ini dijalankan adalah 'membersihkan' ibu negara daripada kegiatan atau budaya yang kurang sihat oleh kumpulan 'mat motor' yang sering membanjiri lokasi ini terutama pada malam minggu," katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan lebih 500 'mat motor' bagai cacing kepanasan dalam operasi pemeriksaan Op Tutup di Jalan Raja Laut menghala ke Jalan Sultan Ismail, malam tadi.

Dalam operasi dua jam bermula 9.30 malam itu, polis menghalang beberapa jalan utama menyebabkan kumpulan bermotosikal berkenaan seperti terkepung dan tiada jalan keluar.

Tinjauan Bernama di lokasi berkenaan malam tadi mendapati kesesakan lebih tiga kilometer turut berlaku di sepanjang jalan itu berikutan motosikal yang menunggu giliran untuk melepasi sekatan jalan raya.

Berita Harian X