Sabtu, 29 Julai 2017 | 12:10am
NELAYAN tempatan di Kuala Sibuti bergantung kepada sumber ikan di perairan Taman Laut Miri-Sibuti di utara Sarawak. - Foto Kandau Sidi
PENCEROBOHAN nelayan asing boleh menjejaskan pendapatan nelayan tempatan di Kuala Sibuti. - Foto Kandau Sidi

Nelayan asing tak takut penguat kuasa

MIRI: Nelayan asing semakin 'angkuh' dan seolah-olah tidak takut dengan kehadiran penguat kuasa Malaysia.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Miri, Jamali Basri, berkata nelayan asing begitu berani menunda ikan menghampiri kawasan pantai seperti sering berlaku di perairan Sibuti-Miri di wilayah utara negeri ini.

Katanya, walaupun menyedari risiko ditahan anggota penguat kuasa, mereka kelihatan seperti tidak mengendahkan perkara itu.

"Nelayan tempatan di Sibuti kerap terserempak bot atau kapal nelayan asing menangkap ikan di kawasan itu kerana banyak ikan. Mereka tidak takut dengan kehadiran nelayan tempatan dan cepat menghilangkan diri sebelum pasukan peronda tiba di lokasi," katanya.

Jamali berkata, hampir setiap minggu pasti ada nelayan asing menunda ikan di perairan kurang 100 batu nautika dari Pantai Sibuti, malah ada di antara mereka yang bersikap agresif sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan nelayan setempat.

Katanya, keberanian nelayan asing itu dikhuatiri akan menjejaskan sumber perikanan dan hidupan laut di kawasan berkenaan, lebih-lebih lagi mereka menggunakan kaedah penangkapan ikan, termasuk jenis pukat yang diharamkan.

"Ini kerana nelayan asing sanggup menggunakan kaedah tangkapan ikan diharamkan di Malaysia untuk memperoleh hasil lebih lumayan," katanya.


BOT nelayan asing yang ditahan APMM ketika Ops Permai di perairan Sarawak. - Foto Kandau Sidi

Ketika ini, nelayan asing terbabit menggunakan kaedah tunda ganding dan begitu berkesan memperoleh ikan dalam jumlah banyak, namun menjejaskan hidupan laut, termasuk merosakkan terumbu karang yang menjadi komponen terpenting sumber pembiakan hidupan maritim.

Malah, beliau mendedahkan ada di antara nelayan asing terbabit turut menggunakan kaedah lebih berbahaya seperti bom ikan atau 'racun' untuk menangkap ikan di perairan negeri ini.

Nelayan Bakam, Geruni Sudin, 45, mencadangkan supaya Kerajaan Malaysia mengenakan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas ke atas nelayan asing yang menceroboh perairan negeri ini dan menjalankan penangkapan ikan secara haram.

"Di Indonesia, tiada kompromi langsung dengan nelayan asing ditahan atas kesalahan menceroboh perairan mereka. Tidak hanya dikenakan penjara dan denda, bot nelayan asing turut dimusnahkan, diletupkan atau dibakar.

"Ini pasti mengundang rasa takut dalam kalangan nelayan asing, malah membuatkan mereka berfikir dua kali jika mahu menceroboh perairan Indonesia. Jika Indonesia boleh melakukannya, Malaysia juga boleh mengambil inisiatif sama kerana pencerobohan ini membabitkan isu keselamatan negara kita," katanya.

Justeru, katanya, sudah tiba masa untuk Malaysia menguatkuasakan peraturan lebih tegas untuk memastikan tiada nelayan asing berani menangkap ikan secara haram di perairan Sarawak.

Sementara itu, boleh bercakap dialek tempatan, memalsukan nombor pendaftaran kapal pukat tunda dan mengecatnya menggunakan warna sama seperti bot nelayan setempat, antara modus operandi nelayan asing ketika menceroboh perairan negara.

Modus operandi itu dipercayai dilakukan berdasarkan pengamatan nelayan asing terbabit yang 'bermaharajalela' sejak sekian lama di perairan Sarawak.

Ia bertujuan memperdayakan pegawai dan anggota penguat kuasa, khususnya Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang kerap membuat rondaan di perairan Malaysia terutama Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak dan Sabah.


KETUA Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar berkata helah berkenaan dikesan sejak tiga tahun lalu, apabila APMM berjaya menahan sebuah kapal tunda milik nelayan Vietnam ketika menangkap ikan secara haram di perairan Kelantan.

"Modus operandi yang digunakan mereka memperlihatkan pelbagai helah licik nelayan asing bagi melindungi kegiatan haram mereka.

"Dalam kebanyakan taktik digunakan, inilah taktik `paling berani' apabila mereka memalsukan nombor pendaftaran bot nelayan kita (tempatan) untuk menceroboh perairan Malaysia, seterusnya `merompak' hasil laut kita," katanya ketika dihubungi BH.

Berdasarkan modus operandi digunakan, kegiatan pencerobohan dan penangkapan ikan secara haram oleh nelayan asing cukup dirancang rapi, termasuk penggunaan kapal induk yang sedia menunggu di perairan antarabangsa bagi menyeludup keluar hasil laut diperoleh dari kapal pukat tunda berkenaan ke negara asal mereka.

Zulkifili berkata, kes terbaru dalam Ops Permai yang diketuai Timbalan Pengarah Operasi APMM Daerah Miri, Komander Maritim Mohd Hambali Ya'akup apabila berjaya menahan dua kapal tunda Vietnam di perairan Gugusan Lucornia, kira-kira 127 batu nautika dari Miri, awal bulan ini.

"Hasil pemeriksaan di lokasi penahanan mendapati kedua-dua kapal tunda berkenaan menggunakan nombor pendaftaran di Malaysia iaitu SF2-3728 dan SF2-4097, namun siasatan lanjut mengesahkan kedua-duanya didaftarkan di Vietnam.

"APMM juga menahan seramai 26 tekong dan awak-awak dari negara berkenaan, didapati tidak memiliki sebarang dokumentasi yang membenarkan mereka menjalankan kegiatan penangkapan ikan di perairan Sarawak.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Perikanan 1985 atas kesalahan menceroboh perairan negara dan menjalankan kegiatan menangkap ikan tanpa kebenaran," katanya.


TIMBALAN Pengarah Operasi APMM Daerah Miri, Komander Maritim Mohd Hambali Ya'akup. - Foto Mohd Rizal Abdullah

Sementara itu, Mohd Hambali berkata, berbanding perairan negeri lain, perairan Sarawak cukup kaya dengan pelbagai spesies ikan dan hidupan laut bernilai tinggi, terutama di kawasan laut dalam.

"Sejak Ops Permai dilancarkan pada 17 Jun lalu, operasi tertumpu di kawasan perairan utara Sarawak dan APMM berjaya menyelamatkan kira-kira 78 tan ikan dan hasil laut bernilai kira-kira RM500,000 daripada `dilarikan' nelayan asing berkenaan," katanya.

Isu pencerobohan nelayan asing di perairan Sarawak kebanyakannya bertumpu di laut dalam berikutan nelayan tempatan hanya menjalankan kegiatan penangkapan ikan di kawasan pesisir pantai kerana kekangan peralatan dan kelengkapan untuk meneroka lokasi penangkapan ikan lebih jauh.

Ia secara tidak langsung membuka ruang kepada kepada nelayan asing menceroboh kawasan lubuk ikan berkenaan, seterusnya mengaut khazanah laut negeri ini secara berleluasa, selain menyebabkan kehilangan hasil dan kemusnahan sumber maritim disebabkan teknik penangkapan ikan digunakan.

Masalah pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Sarawak turut diberikan perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang membangkitkan perkara berkenaan pada pertemuan bersama rakan sejawatnya dari negara itu, Truong Hoa Binh, di Putrajaya, minggu lalu.

INFO

* 1,360 nelayan Vietnam ditahan APMM Sarawak, setakat ini.

* 200 tan metrik purata hasil laut Sarawak dilarikan nelayan Vietnam (menggunakan lapan bot pukat tunda).

* 78 tan metrik hasil laut diselamatkan menerusi Ops Permai.

* RM500,000 nilai tangkapan berjaya diselamatkan.

* 100-150 batu nautika (dari pesisir pantai) lokasi tumpuan pencerobohan nelayan asing.

INFO

- Lokasi tumpuan pencerobohan nelayan asing membabitkan kawasan laut dalam.

- Kebiasaannya lokasi terbabit berada antara 120-150 batu nautika dari pesisir pantai.

- Memilih untuk 'beroperasi' berhampiran sempadan antarabangsa bagi memudahkan hasil tangkapan dipindahkan ke kapal induk, seterusnya dihantar ke negara asal.

- Nelayan asing bergerak secara berkumpulan, dengan sekurang-kurangnya menggunakan dua bot pukat tunda.

Gugusan Lucornia

- Terletak 127 batu nautika dari Kuala Baram, Miri

- Antara kawasan terumbu di Perairan Sarawak yang dikenal pasti sebagai lubuk ikan dan pelbagai hasil laut bernilai tinggi.

Perairan paling aktif diceroboh nelayan asing di perairan Sarawak:

1. Gugusan terumbu karang Lucornia.

2. Beting Petinggi Ali.

3. Terumbu Karang Sibuti.

Berita Harian X